WELCOME

Wednesday, February 2, 2011

PEMINDAHAN SECEPAT MUNGKIN

KOTA KINABALU 2 Feb. – Kesemua rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan situasi sukar di Mesir, dijangka dapat dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam tempoh empat hari setengah.


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, pemindahan itu akan dilakukan 
secepat mungkin selepas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat khas 
milik Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia tiba di Kaherah.
Selain itu, katanya, Kapal Bunga Mas 5 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 
yang sedang bertugas di Teluk Aden juga akan digunakan untuk memindahkan rakyat Malaysia.

“Keutamaan kita adalah bagi memindahkan dahulu pelajar dan rakyat Malaysia ke Jeddah 
dan kemudiannya barulah dibawa balik ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

“Jika keadaan berjalan lancar, kita menjangkakan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia
 akan dipindahkan setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Lebih 11,000 rakyat Malaysia direkodkan berada di Mesir dan pelajar mencatatkan jumlah tertinggi.

Menurut Anifah, tiga pesawat C-130 TUDM dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini 
manakala pesawat A320 milik AirAsia pula akan berlepas ke Kaherah pada pukul 2.30 petang ini.

Tambahnya, pesawat Boeing 747 milik MAS yang boleh membawa 285 penumpang pula dijadualkan
berlepas ke Kaherah, Mesir, esok.
Katanya, turut serta dalam pesawat AirAsia yang membawa makanan hari ini ialah 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, 
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.
Beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menghubungi 
Raja Arab Saudi bagi membolehkan rakyat Malaysia yang keluar dari Mesir ke Jeddah dikecualikan daripada visa.

Tambahnya, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay turut mengadakan perbincangan dengan
 Kementerian Luar Mesir bagi memudahkan pemindahan rakyat Malaysia ke Arab Saudi.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam berhadapan situasi yang sukar ini, kerajaan turut bekerjasama 
dengan Indonesia bagi mengeluarkan rakyat kedua-dua negara itu ke Jeddah.
“Kita telah bersetuju untuk membantu antara satu sama lain, jika terdapat kekosongan di dalam
 pesawat (Indonesia), mereka akan turut membawa rakyat kita begitulah sebaliknya 
kita akan membuat perkara yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa pelajar supaya bersabar dan tidak pergi 
ke Mesir bagi mengelakkan mereka turut terkandas.

No comments:

Post a Comment